Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kebawah DYMM akan menjalani rawatan kesihatan
13/01/2026

 


Pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, satu pengumuman khas dari Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah disiarkan pada hari ini.

Pengumuman Khas berkenaan dimulakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof yang memaklumkan bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan menjalani rawatan kesihatan yang telah dirancang awal di Jerudong Park Medical Centre pada Ahad, 28 Rejab 1447 Hijrah bersamaan 18 Januari 2026 Masihi.

Di samping itu, Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, telah memaklumkan bahawa rawatan berkenaan adalah prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan ataupun 'right total knee replacement' bagi mengembalikan fungsi lutut, meningkatkan mobiliti (pergerakan) dan memberikan keselesaan serta manfaat kepada kesihatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia.

Menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, pembedahan berkenaan akan diketuai oleh Pakar Bedah Ortopedik dari Amerika Syarikat, Profesor Andrew Freiberg, yang berpengalaman dalam pembedahan penggantian dan rekonstruktif sendi. Setelah pembedahan, tempoh pemulihan dijangka akan mengambil masa dua ke tiga bulan termasuk sesi fisioterapi.

Sementara itu, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II juga memaklumkan bahawa dalam tempoh menjalani rawatan berkenaan, Kebawah DYMM akan bersemayam dan beristirahat, dan keberangkatan baginda dalam majlis-majlis kenegaraan dan rasmi adalah terhad buat sementara waktu. Walau bagaimanapun, baginda akan terus menjalankan tugas-tugas rasmi dalam tempoh berkenaan.

Oleh yang demikian, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II menyeru seluruh lapisan masyarakat untuk sama-sama mendoakan agar prosedur rawatan baginda berjalan dengan lancar dan seterusnya berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala bagi mengurniakan kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna, dan keafiatan yang berpanjangan kepada raja 'kitani' yang dikasihi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Tambah Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II lagi, JPM dan pihak-pihak tertentu akan terus memaklumkan keadaan kesihatan Kebawah DYMM setelah pembedahan berkenaan dari semasa ke semasa.

Dalam mengakhiri Pengumuman Khas berkenaan, Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II merafakkan doa semoga Allah Subhanahu Wata'ala memperkenankan doa seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. Amin Ya Rabbal Alamin.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto